Dikuasakan oleh Blogger.

ORANG RAMAI DILARANG CARI KERANG DI PANTAI MARANG

ORANG RAMAI DILARANG CARI KERANG DI PANTAI MARANG


Pihak berkuasa, Polis, telah melarang orang ramai melakukan sebarang aktiviti mencari dan menangkap kerang di persisir pantai sekitar Marang. Orang ramai khususnya penduduk yang tinggal di sekitar Marang, menjalankan aktiviti itu selepas 'fenomena kerang mabuk naik ke darat'. Fenomena itu berpunca akibat penambahan paras air laut.

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintenden Risikin Satiman berkata, larangan itu dibuat berikutan kejadian empat remaja hampir lemas apabila dihanyutkan ombak. Kejadian itu berlaku disebabkan oleh keadaan ombak besar dan cuaca yang tidak menentu menjelang musim tengkujuh ini.

Menurutnya, empat orang remaja hampir lemas ketika sedang asyik mengutip kerang yang terdampar di persisir pantai sejak dalam tempoh tiga hari.

Kira-kira jam 3.30 petang semalam, dua remaja berusia 15 tahun dari Kuala Terengganu nyaris lemas selepas dihanyutkan ombak. Sebelum itu, dua pelajar IPT berusia 19 tahun dari Kampung Merbau Patah, Kuala Terengganu juga hampir lemas di pantai sama kira-kira jam 11.20 pagi kelmarin selepas dihanyutkan ke tengah laut.

Bagaimanapun, mereka bernasib baik apabila berjaya diselamatkan orang ramai yang kebetulan berada di pantai berkenaan sebelum dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu dan Klinik Kesihatan Marang untuk rawatan.

Berhubung kejadian itu, pihak polis Marang memberi amaran dan tidak akan membenarkan sebarang aktiviti pantai seperti berkelah, mandi dan mengutip kerang kerana bimbang kejadian buruk seperti ini berulang kembali.

Bukan niat polis untuk menghalang orang ramai mencari rezeki, tetapi kerana faktor keselamatan menjadi keutamaan bagi kami. Oleh itu, saya harap orang ramai dapat mematuhi arahan yang dikeluarkan ini demi kebaikan semua pihak.

Larangan itu berkuat kuasa serta merta dan semua pihak diminta memberi kerjasama bagi mengelak insiden yang tidak diingini.
Tag : Semasa
0 Komentar untuk "ORANG RAMAI DILARANG CARI KERANG DI PANTAI MARANG"

Back To Top