Dikuasakan oleh Blogger.

FILEM 'LELAKI HARAPAN DUNIA' CETUS KONTROVERSI

FILEM 'LELAKI HARAPAN DUNIA' CETUS KONTROVERSI


Filem terbaru ' Lelaki Harapan Dunia' kini dilihat tercetus sedikit kontroversi. Ia berikutan kritikan sinis dan skeptikal yang sarat di laman media sosial.

Merujuk dari kritikan itu, filem ' Lelaki Harapan Dunia' ini dilihat memperkecilkan masyarakat Melayu.

Liew Seng Tat, selaku pengarah filem Lelaki Harapan Dunia.
Bagaimanapun, pengarah filem itu, Liew Seng Tat menepis tuduhan tersebut. Dia berkata, tidak ada sedikit niat buruk pun untuk memperkecilkan orang melayu menerusi karyanya itu.

Menurutnya, isu ini sepatutnya tidak timbul, kerana kritikan yang diselitkan dalam filem berkenaan bersifat subjektif dan setiap orang mempunyai sudut pandang berbeza dalam membuat penilaian.

"Tiada niat dalam hati saya untuk menyelar atau membangkitkan kemarahan mana-mana pihak kerana objektif asal menghasilkan filem ini adalah untuk menceritakan budaya 'angkat rumah' yang popular di kalangan masyarakat Melayu suatu ketika dahulu.

"Bagi saya budaya itu cukup indah dan menarik untuk dipaparkan kepada orang ramai yang tidak mengetahui tentangnya


Filem 'Lelaki Harapan Dunia' menampilkan barisan pelakon seperti Wan Hanafi Su, Azhan Rani, Sofi Jikan, Harun Salim Bachik, Jalil Hamid dan Hishamuddin Rais dan bakal di pawagam bermula 27 November ini.

Lelaki Harapan Dunia berlatar sebuah kampung. Ia mengisahkan kekecohan akibat salah faham di antara penduduk kampung yang menyangka rumah terbiar yang dalam perancangan dipindahkan dari hutan ke kampung untuk Pak Awang (Wan Hanafi Su) itu dikatakan "berhantu".

Rumah terbiar itu, ingin dihadiahkan kepada anak perempuan Pak Awang. Lantaran itu, Pak Awang cuba menyakinkan penduduk kampung agar tidak mempercayai perkara tahyul, namun tiada siapa yang ingin mendengarnya.

Filem 'Lelaki Harapan Dunia' mengambil masa selama dua tahun dalam membuat penyelidikan dan penyediaan skrip, sebelum menjalani penggambaran bagi memastikan fakta yang ditampilkan tidak tersasar daripada tujuan asal.

Liew berkata, bukan mudah untuk menghasilkan filem ini sebenarnya. Ia memerlukan masa dua tahun untuk melakukan penyelidikan yang betul-betul teliti dalam memastikan tiada fakta yang terpesong.

Sementara itu, mengulas mengenai adegan Wan Hanafi Su yang tampil separuh bogel sebagai orang minyak dalam filem berkenaan, Liew menjelaskan pelakon itu bersetuju untuk menjayakan babak berkenaan tanpa sebarang rungutan.

Bagi Liew, pelakon veteran itu berjaya melunaskan watak tersebut dengan baik selain menyifatkannya seorang profesional ketika berada di set penggambaran.

Filem Lelaki Harapan Dunia telah ditayangkan di festival filem antarabangsa seperti di Toronto, Nara, Vancouver, Busan, Kolkata, Taipei dan Locarna. Malah juga bakal ditayangkan di Singapura pada bulan hadapan.
Tag : Semasa
0 Komentar untuk "FILEM 'LELAKI HARAPAN DUNIA' CETUS KONTROVERSI"

Back To Top