NAJIB TEMUI AGONG UNTUK ROMBAKKAN KABINET, DIJANGKA SINGKIR MUHYIDDIN
Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka mengumumkan rombakan Kabinet pada hari ini (Selasa), selepas spekulasi beberapa minggu bahawa beliau akan membuat perubahan tertentu terhadap barisan kepimpinannya.
Memetik portal mStar, difahamkan, Najib telah bertemu dengan Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah pada Isnin lalu bagi mempersembahkan senarai rombakan kabinet baru. Perdana Menteri dijangka membuat pengumuman yang ditunggu-tunggu ini melalui sidang media pada pukul 3 petang Selasa.
Pelarasan Kabinet kali terakhir dibuat pada Jun 2014 apabila Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai, timbalannya Datuk Dr Wee Ka Siong dan Presiden Gerakan Datuk Mah Siew Keong dilantik sebagai menteri.
Antara menteri yang disebut-sebut terlibat dalam rombakan itu ialah Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan yang akan diberi tanggungjawab sebagai Menteri Komunikasi dan Multimedia.
Beliau yang baru dilantik sebagai Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN) dikatakan bakal menggantikan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang bertukar potfolio lain.
Difahamkan, seorang lagi pemimpin dari Sabah akan dilantik menganggotai Kabinet. Bagaimanapun potfolio beliau masih belum dapat dipastikan.
Seorang timbalan menteri juga disebut-sebut akan dinaikkan pangkat menjadi menteri penuh dan sekurang-kurangnya dua muka baharu dilantik sebagai timbalan menteri.
Manakala, menurut portal The Malaysian Insider, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, kemungkinan akan disingkirkan dari menteri kabinet ekoran lantang mengkritik cara Najib menagani skandal 1MDB mungkin dipecat.
Rombakan Kabinet itu juga mengambil kira kemelut kepemimpinan MIC melibatkan Datuk Seri G. Palanivel yang kini memegang potfolio Menteri Sumber Hijau dan Alam Sekitar.
Kerusi menteri untuk kuota MIC itu berkemungkinan dikosongkan buat sementara waktu sehingga pemilihan semula MIC, September ini.
Bagaimanapun sumber yang rapat dengan Perdana Menteri semasa dihubungi bagi mengulas khabar angin rombakan Kabinet menjelaskan; “Spekulasi tetap spekulasi, akhirnya Perdana Menteri yang akan membuat penentuan,”
Pada 12 Julai lalu, Pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional (BBNBC), Shahrir Samad semasa mengulas spekulasi bakal dilantik menduduki semula Kabinet, menolak jawatan itu atas alasan masa beliau sudah berlalu.
Pada 12 Mei pula Pejabat Perdana Menteri telah mengeluarkan kenyataan menafikan satu senarai rombakan Kabinet seperti tersebar melalui beberapa laman blog dan media sosial.
via - Utusan Online
Tag :
Semasa
0 Komentar untuk "NAJIB TEMUI AGONG UNTUK ROMBAKKAN KABINET, DIJANGKA SINGKIR MUHYIDDIN"