Dikuasakan oleh Blogger.

AKTIVITI BERMANFAAT PADA MASA LAPANG

AKTIVITI BERMANFAAT PADA MASA LAPANG


Masa itu ibarat duit; ia hanya memberi manfaat jika dibelanjakan dengan baik. Simpan banyak-banyak tiada gunanya, kalau tidak dibelanjakan. Dibelanjakan banyak-banyak juga tiada gunanya, jika tidak dibelanjakan dengan baik.

Masa yang banyak ibarat duit yang banyak. Mereka yang bijak dengan duit dapat mengurusnya dengan baik; mereka tahu bila hendak dibelanjakan, di mana hendak dibelanjakan, dan berapa banyak hendak dibelanjakan.

Seperti duit, kadang kala apabila masa ada banyak sangat, kita jadi bingung sampaikan kita tidak tahu hendak buat apa dengan masa yang banyak itu. Ramai yang “boring” kerana mempunyai masa lapang yang banyak, tetapi tidak mempunyai pengisian yang memberi makna.

Untuk mereka yang mempunyai masa lapang dan tidak mempunyai idea untuk pengisian masa yang bermakna, mungkin saya boleh memberikan cadangan aktiviti-aktiviti yang boleh dilakukan agar masa yang lapang tidak berlalu tanpa sebarang manfaat untuk diri.

1. Mengembara

Kumpul beberapa orang rakan yang rapat dan rancanglah satu trip untuk menjelajah mana-mana tempat yang menarik. Mengembara dapat membuka minda kita bukan sahaja terhadap tempat yang kita kunjungi, tetapi juga terhadap diri kita sendiri.

Ketika mengembara, kerap kali perkara-perkara yang tidak dirancang akan berlaku. Dalam saat-saat seperti itu, akhlaq dan iman kita akan diuji. Reaksi kita di saat cabaran menimpa dapat memberikan kita petunjuk terhadap status hati kita.

Kita bukan sahaja dapat mengenali diri kita dengan baik, kita juga dapat mengenali rakan-rakan kita dengan lebih baik.

2. Bekerja

Carilah kerja, bukan untuk kumpul duit dan menjadi kaya, tetapi untuk merasai usaha yang harus diletakkan untuk mendapatkan duit tersebut. Ia lebih bermakna daripada “scratch and win” ataupun skim cepat kaya.

Jika selama ini kita hanya bergantung kepada hati budi ibu bapa kita untuk memberikan kita duit, kita mungkin tidak dapat hargai nilai sebenar duit itu. Duit yang bernilai RM1 sebenarnya bernilai lebih daripada itu.

Tanyalah diri sendiri, “Dari mana datangnya RM1 itu?” Sudah semestinya ia tidak jatuh dari langit begitu sahaja. Duit itu mesti datang daripada titik peluh ibu bapa kita yang bekerja untuk menampung keperluan dan kehendak kita.

Mereka yang bekerja dapat merasai susah payah ibu bapa mereka. Sebelum ini, mereka tidak merasainya. Minta duit sahaja, terus dapat. Apabila dapat duit itu, kadang kala mungkin kita tidak menghargainya.

Benda yang senang dapat, susah untuk dihargai.

3. Membaca

Kita tidak boleh bergantung kepada pemikiran minda kita sahaja jika ingin hidup di atas bumi ini yang kita kongsi dengan manusia-manusia yang lain. Kita harus membuka ruang untuk melihat cara pemikiran orang lain juga. Mungkin, cara pemikiran mereka lebih bernas daripada cara kita sebelum ini.

Itulah salah satu kelebihan membaca. Membaca hasil penulisan orang lain itu ibarat membaca pemikiran mereka. Bukan itu sahaja, membaca juga ibarat tingkap kepada hati seseorang. Kadang kala, seseorang penulis itu mencurah bukan sahaja buah fikirannya, tetapi juga perasaannya dalam penulisan.

Maka kita “dengar” curahannya, dengan membaca.

4. Volunteer

Membantu orang lain itu sebenarnya membantu diri kita sendiri, kerana dengan membantu mereka, hati kita tenang dan gembira. Membantu orang lain merupakan salah satu terapi diri yang efektif.

Allah akan membantu mereka yang membantu orang lain.

Ada banyak cara untuk volunteer; ruang untuk kreatif terbuka luas, tetapi asasnya tetap sama – berikan masa dan tenaga kita untuk orang lain. Ia merupakan satu bentuk pengorbanan kerana kita mengorbankan kehendak kita untuk memenuhi keperluan orang lain.

5. Mencari ilmu

Mencari emas tidak mudah. Emas tidak berselerak di atas tanah, emas itu ditanam dalam perut bumi. Untuk mencarinya, kita harus pilih kawasan yang sesuai – bukan semua tanah ada emas. Apabila kita jumpa kawasan yang sesuai, kita harus gali dan gali. Apabila kita jumpa emasnya, kita tidak boleh jual begitu sahaja. Ia harus lalui proses pembersihan sebelum kita dapat perolehi emas yang berharga.

Ilmu itu lebih berharga daripada emas. Sejauh manakah kita sanggup berusaha untuk memperolehinya?

Carilah kelas-kelas yang bermanfaat, sama ada kelas agama mahupun sebaliknya. Ilmu yang bermanfaat boleh ditimba, jika ia dicari.

Itu hanyalah 5 cadangan aktiviti yang boleh dilakukan dalam masa lapang. Sekiranya para pembaca ingin berkongsi cadangan ini boleh klik pada butang 'Share' di facebook.

Infokini.my
Tag : Dokumentari
0 Komentar untuk "AKTIVITI BERMANFAAT PADA MASA LAPANG"

Back To Top