Dikuasakan oleh Blogger.

ZARINAH ABDUL MAJID: SAYA AMALKAN KEPERCAYAAN HINDU


Zarinah Abdul Majid pernah berulang-alik ke Mahkamah Syariah dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk membuang perkataan "Islam" di kad pengenalannya kerana dia tidak mengamalkan kepercayaan agama itu. Zarinah dipercayai telah berbuat demikian selama tujuh tahun, namun tidak berhasil.

Pekerja kilang yang berusia 32 tahun itu membuat keputusan untuk berkahwin dengan lelaki yang dicintainya, seorang penganut Hindu di sebuah kuil. Dia telah menjemput 400 tetamu dan membelanjakan lebih RM30,000 untuk majlis tersebut.

Tetapi majlis perkahwinannya tidak berjalan dengan lancar apabila penguatkuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) bersama anggota polis menahannya untuk menyoal tentang status agamanya.

Sungguhpun Zarinah ditahan dan dibebaskan, dia berkata dia tidak akan mengalah. Dia turut berkata bahawa dia mengamalkan kepercayaan Hindu dan mengikut adat serta budayanya.

Ibu bapa Zarinah beragama Hindu ketika berkahwin. Ayahnya bernama S Mahendran dan ibunya bernama S Vasandamma.

Ayah Zarinah memeluk agama Islam dengan bantuan saudaranya, manakala ibunya kekal beragama Hindu. Oleh sebab itu, Zarinah dan tiga adiknya mempunyai status agama Islam dalam surat beranak dan kad pengenalan.

Zarinah berkata, selepas kelahiran adik lelakinya pada 1990, ayahnya meninggalkan rumah dan tidak pernah pulang. Ibunya yang buta huruf tidak tahu yang anak-anaknya semua beragama Islam.

Zarinah berkata, sejak 20 tahun lalu keluarganya berjumpa dengan ramai penguam untuk mencari jalan penyelesaian tetapi semuanya gagal.

Sebelum ditahan suaminya sempat mengikat "thali" sebagai tanda sudah berkahwin.

Sementara itu, Jais menafikan menyerbu dan mengganggu majlis perkahwinan Zarinah. Timbalan Ketua Pengarah Jais, Ahmad Zaki Arshad, berkata pihaknya datang ke kuil hanya untuk menjalankan siasatan dengan mengambil keterangan pengantin perempuan untuk mengesahkan taraf agamanya.

Beliau berkata, tindakan Jais itu mengikut prosedur selepas menerima aduan daripada orang ramai. Ahmad Zaki berkata Jais tidak buat serbuan atau operasi. Dia memberitahu bahawa mereka hanya datang buat pemeriksaan biasa sahaja tanya pemilik kad pengenalan betulkah dia beragama Islam.

Zarinah berkata, Jais menyuruhnya menukar nama dan agama untuk mengelakkan dituduh murtad. Zarinah telahpun cuba berbuat demikian selama tujuh tahun dan buntu apabila tidak berhasil.

Selepas kejadian ini, Zarinah turut berkata bahawa dia mungkin akan didakwa menghina Islam jika masalah ini tidak diselesaikan dengan segera.
Tag : Semasa
0 Komentar untuk "ZARINAH ABDUL MAJID: SAYA AMALKAN KEPERCAYAAN HINDU"

Back To Top